Blog ini kurang aktif. Apa fungsi blog? Apa signifikannya blog dalam kontinum masa kini? Apa korelasi blog dengan kehidupan kita seharian? Di mana kongruennya blog dengan aplikasi seharian kita?
Di saat saya menulis ini, umat Islam di seluruh dunia masih lagi sedang enak meraikan Hari Raya Aidilfitri 1427H untuk raya yang ke-3, tahun ke-82 umat Islam hidup tanpa pemerintahan berkhalifah, setelah berakhirnya tampuk pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah di Turki pada 1924. Suatu tempoh masa yang agak panjang hingga terbinanya tembok pemisah antara umat Muhammad atas alasan negara bangsa, satu ideologi sampah Barat.
Kelekaan umat Islam beraya, meraikan kejayaan berpuasa salama sebulan, (untuk orang yang benar-benar berpuasa) memerangkap jiwa dan batin secara internal, agar melupakan kedukaan saudara seagama di negara lain. Nyata, ideologi dan teori sampah Barat berjaya di suap kedalam mulut umat Muhammad, dipaksa telan oleh teroris budaya mereka dan akhirnya dihadam oleh umat ini sendiri, secara rela, atau paksa. Kita secara terbuka melaungkan manifestasi gerun terhadap musuh, menjerit kuat perasaan takut dan menyatakan bahawa kita malas sebenarnya untuk berhadapan dengan musuh. Atau nama lain, kita memang tidak berniat untuk bertanggungjawab terhadap sekalian saudara kita di Palestin, Kashmir, Iraq, Afghanistan mahupun Lebanon. Dan kita tidak kisah pun, jika Israel mahukan Al-Aqsa. Ambillah. Kami hanya ingin hidup di negeri kami dengan aman.
Plot dunia semakin kecamuk. Kausaliti terhadap setiap epistemologi, semakin hari semakin memberahikan. Dunia menaikkan ghairah nafsu tahap rendah untuk terus melacurkan dirinya. Kekacauan di dalam masyarakat Melayu umumnya semakin parah dibelasah teroris budaya ini. Namun di sebalik setiap plot ini, pada lapisan kedua dan ketiganya, terdapat suatu fenomena berbentuk estetika makna yang semakin hari semakin menampakkan auranya. Para pejuang semakin hari mempersiapkan diri mereka, untuk berhadapan dengan segala kemungkinan kehidupan dalam kekacauan yang meggila ini.
Hizbullah adalah contoh fenomena terbaik buat umat Islam, dalam menempuh dunia ketamadunan Barat yang sangat supremasi. Supremasi kerana kita memang sejak kecil di ajar bahawa tamadun Barat itu hebat. Dalam menempuh 30 000 penceroboh Israel, Hizbullah sebagai tentera Allah hanya menghantar sebilangan kecil dari keseluruhan 2000 pejuangnya, iaitu 500 orang sahaja dengan yang selebihnya bersiap sedia sahaja. Malah di beritakan sewaktu pertempuran yang melibatkan sehingga 500 orang penceroboh Israel yang lengkap bersenjata di Maroun-al-Rass, Hizbullah hanya meletakkan 17 orang pejuangnya di tempat-tempat strategik dengan hanya 3 orang pejuang mujahidin yang syahid. Dan sepanjang 33 hari pertempuran, sebenarnya penceroboh Israel berjaya mara hanya 5km jauh sahaja dari sempadan. Itupun hanya dalam linkungan 24 jam kerana mereka tidak mampu duduk lama lantaran pejuang Hizbullah akan menghalau mereka keluar. Sehingga di saat-saat akhir pertempuran, di beritakan bahawa roket Hizbullah yang banyknya sehingga 4000 buah telah mencecah sehingga 100km dan hampir mengenai Tel Aviv, 20km daripada bangunan pentadbiran mereka. Pihak Hizbullah sendiri mengakui bahawa sehingga 60++ pejuang mereka syahid, tetapi penceroboh Israel yang mati sehingga 400 lebih dengan 700 lagi cedera.
Inilah contoh yang menggambarkan kejayaan dan kemenangan iman dan taqwa terhadap Allah SWT menentang teknologi dan percaturan ciptaan manusia. Sesungguhnya Allah itu mampu berbuat sesuatu mengikut kehendaknya dan buktinya di gambarkan kepada seluruh umat Islam bahawa walaupun Israel itu mempunyai keupayaan ekonomi, persenjataan dan teknologi yang canggih, tetapi ia tidak sehebat percaturan Allah SWT. Keyakinan sebeginilah yang seharusnya ditanam kedalam hati umat Islam, khususnya para pemuda Islam. Para pemuda Islam yang sibuk berjuang atas nama Allah di wilayah bergolak sekitar Tebing Barat khasnya amat beruntung, berbanding pamuda Islam lain di seluruh dunia yang sibuk menghedoniskan diri masing-masing lebih jauh dari Allah SWT.
Pada dasarnya, kehidupan umat Islam kini diganggu oleh ketiadaan ketenteraman jiwa secara terus menerus. Kita hidup tanpa matlamat kerohanian, malah seringkali tergelincir dalam asas kehidupan yang dhaif dan tiada erti. Kekacauan ini mengakibatkan kita menjeri-jerit kesakitan di sebalik keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi. Hati kita yang sakit ini, hampir tiada ubatnya. Kesemua syarikat farmasi seperti AstraZeneca, Safire, Blackmores, SanofiSynthelabo dan yang lain-lain hampir tiada formula untuk mengubati penyakit yang satu ini. Satu-satunya ubat, cara yang menjanjikan kemenangan di dunia dan akhirat adalah seperti yang disarankan oleh Rasullullah SAW, iaitu berbalik kepada al-Quran, Sunnah dan kehidupan Islam secara totalnya.
Barat yang supremasi itu juga tiada ubat untuk penyakit yang sedang menular jauh ke dalam vena, arteri dan kapilari umat Muhammad ini. Penemuan Dr Malik Badri dalam bukunya ‘Dilema Ahli Psikologi Islam’, mendapati bahawa keseluruhan pendekatan Barat terhadap psikologi adalah sangat menyeleweng, iaitu dengan teori bahawa Tuhan lansung tidak mempunyai peranan. Ironinya, kebanyakan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke tahap Doktor Falsafah hendaklah mengambil mata pelajaran Psikologi untuk diiktiraf kedoktorannya, dan teori Psikologi yang perlu di pelajari itu tidak lain dan tidak bukan, ilmu jiwa yang lansung tidak mempercayai Allah SWT sebagai sebab dan kesan terhadap sesuatu kejadian tersebut. Inilah yang berlaku kini, iaitu kebergantungan umat Islam terhadap tamadun Barat sehingga melemahkan, melumpuhkan malah secara tidak lansung mengikis sedikit demi sedikit kepercayaan terhadap Tuhan, iaitu Allah SWT yang digantikan dengan teori sampah ciptaan manusia yang bukan Islam.
Hadis Rasullullah yang terkenal menyatakan bahawa Rasullullah pernah menyatakan, "…kalau mereka (Yahudi & Kristian) masuk lubang biawak, maka orang-orang Islam akan mengikut mereka..". Ini dipersetujui oleh Dr Malik Badri dengan mengambil contoh kehidupan moden sekarang. Menurut beliau lagi, "…gejala peniruan di peringkat akademik paling ketara sekali dengan lapangan sains. Teori-teori dan kebiasaan yang pada amnya merupakan hasil tamadun Yahudi-Kristian-Barat telah menduduki dan menguasai jabatan-jabatan Sains di universiti-universiti negara Islam…" Ini menggambarkan penerimaan secara bulat-bulat, membabi-buta dan tidak sedar sebenarnya tidak sesuai dilaksanakan dan diterima oleh dunia Islam. Penulisan ini akan membuahkan persoalan, setidak-tidaknya mencerakinkan sedikit idea, bahawa apa yang boleh kita lakukan sebagai pemuda dan pemudi Islam.
Saya percaya terhadap perubahan. Kita tinggalkan persoalan konsistensi atau seribu satu alasan lain. Pada pandangan saya daya tujah yang pertama setidak-tidaknya akan meninggalkan momentum. Masalah konsisten, kepercayaan, dan segala macam persoalan hanya melengahkan masa. Kita tidak akan berjaya jika sibuk memikirkan masalah yang belum terjadi. Saidina Umar pernah berkata umat Muhammad tidak akan menjadi umat yang berani andai sibuk memikirkan risiko. Perubahan yang sedikit demi sedikit, lebih bermakna daripada asyik berfikir tetapi tiada usaha mengaplikasikannya.
Menurut Fathi Yakan, tokoh perubahan Lebanon dalam bukunya Generasi Muda & Perubahan, pemuda menjadi objek perubahan kerana cita-cita tingginya, darah gemuruh serta idealisme yang kuat dan luas. Waktu muda ialah usia memberi pengorbanan & menebus semula. Usia menabur jasa, memberi kesan & emosional. Dan manhaj (method) perubahan Islam ialah mengembalikan manusia kepada Allah SWT kepada segenap urusan hidup. Iaitu memasukkan akhlak kedalam urusan hidup, sistem undang-undang & pemikiran. Ia menekankan bahawa tugas & peranan pemuda Islam adalah melakukan ‘Perubahan’, bukan menempel atau memperbaiki, malah yang selain dari ini tidak mempunyai nilai, tetapi menangguhkan kemahuan pemuda kepada perubahan dan seterusnya membawa bencana untuk terus berjalan seiring dengan realiti jahiliyyah yang ada dan cuba hidup bersamanya.
Sekali lagi saya nyatakan bahawa tujuan saya menulis adalah sebagai melepaskan gian terhadap blog ini, yang mana selama ini gagal mendapat Zolpidem, Diazepam atau Halcion. Ketandusan ideologi mengakibatkannya sakit secara mentalnya. Kelesuan anak mata terhadap gian itu menghasilkan tulisan sebegini rupa yang secara khususnya untuk menjana setiap saraf Olfaktori, Vagul, Abdusens & Hipoglosal agar terus dapat memberi khidmat kepada badan. Secara amnya, untuk mengingatkan diri sendiri yang sedang jauh tersimpang dari kalimat aqidah. Saya percaya dengan menulis begini, saya semakin sedar siapa diri saya bahkan tiada siapa pun yang akan menjenguk blog ini.
Namun perlu diingatkan, perubahan meninggalkan satu fenomena baru. Fenomena baru, kadangk kala gagal difahami orang lain, lantas pelbagai versi interpretasi akan muncul menafsir setiap langkah kita. Saya selalu dimotivasikan bahawa inilah perjuangan yang sebenar, atas nama Allah SWT, bukan atas nama HEP atau sebarang versi penguatkuasa (Polis, JPJ) yang lain. Selalu berdoa agar Allah memberi hidayah dan melorongkan kita di jalan yang benar. Kuat hati dan tekal berusaha. Hati yang lembut terhadap perubahan yang bersifat Islamik adalah petanda hati yang sedang terubat dek jiwa terhadap agamanya. Mahathir akan terus mengkritik. Menteri yang lain akan terus terheret dengan kritikannya. Di New Jersey (Rabu) perkahwinan sesama jenis sudah mendapat kebenaran pihak berkuasa (Lihat CNN.com). Bush tetap dengan pendiriannya untuk meletakkan tentera penceroboh di Iraq walau 85 penceroboh terkorban bulan ini sahaja, angka tertinggi sejak 2004, Hamas dan Fatah di jadual bertemu di Cairo, macam sempit sangat Gaza itu agaknya dan pejuang Taliban di Afghanistan akan terus berjuang menentang penempatan tentera penceroboh. Dunia, sarat dengan seribu satu cerita. Dan dunia kita, pemuda Islam, bakal sarat dengan pelbagai pengalaman. Pastikan kita mendapat peluang & pengalaman terbaik untuk dibawa bekal kemudian hari nanti. Insya-Allah..
zf_zamir
http://zamiramnesia.blogspot.com
p/s: sesiapa yang terziarah blog ini, terima kasih kerana melawat, (saya yakin kurang dari seorang, huhu..)saya jarang mengaktifkan blog ini atas sifat giannya. Saya aktif menerusi: http://zamiramnesia.blogspot.com Jemput datang.